Ramadhan

 

Ramadhan datang dan pergi.. Setiap kali kedatangannya, membawa kerahmatan dan tawaran keampunan bagi yang bersungguh-sungguh melakukan amal ibadah tulus ikhlas kerana-Nya..

Ganjaran yang dijanjikan Allah pada bulan Ramadhan yang mulia lagi diberkati ialah Lailatul Qadar..

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Telah datang kepada kamu Ramadan bulan membawa berkat, Allah menyelubungi kamu, lalu ia menurunkan rahmat serta menghapuskan kesalahan-kesalahan. Allah SWT memperkenankan doa pada bulan itu. Allah juga melihat perlumbaan antara kamu pada Ramadan dan menyampaikan kebanggaan-Nya terhadap kamu kepada malaikat. Oleh itu hendaklah kamu membuktikan kebaikan kamu kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dijauhkan atau diharamkan oleh Allah daripada mendapat rahmat-Nya.” (Riwayat Tabarani)

Pada malam Lailatul Qadar, Allah SWT telah menurunkan al-Quran keseluruhannya ke langit dunia sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW seperti maksud firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami sudah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul qadar.” (Al-Qadr:1)

Pada malam 17 Ramadhan yang kita sambut sebagai Nuzul Quran, ayat yang pertama iaitu Surah al-’Alaq telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan perantaraan Jibril a.s. di Gua Hira’.

Terdapat beberapa pandangan Para sahabat dan ulama mengenai Lailatul Qadar. Antaranya ialah pandangan Imam Ghazali yang menyatakan bahawa malam berlakunya Lailatul Qadar boleh diketahui melalui:

  • Jika awal Ramadan pada Ahad atau Rabu, maka Lailatul qadar pada malam 29 Ramadan.
  • Jika awal Ramadan pada Isnin, maka Lailatul qadar pada malam 21 Ramadan.
  • Jika awal Ramadan pada Selasa atau Jumaat maka Lailatul qadar pada malam 27 Ramadan.
  • Jika awal Ramadan pada Khamis, maka Lailatul qadar ialah pada malam 25 Ramadan.
  • Jika awal Ramadan pada Sabtu, maka Lailatul qadar ialah pada 23 Ramadan.
  •  

    Selain tanda itu malam ini juga dikatakan boleh dikenali dengan beberapa tanda lain yang boleh ditanggapi dari alam iaitu:

  • Pada malam itu langit dikatakan kelihatan suci bersih.
  • Bulan bercahaya dan terang benderang.
  • Udara nyaman, tidak sejuk dan tidak panas.
  • Langit tidak diganggu bintang.
  • Matahari pada waktu paginya memancarkan cahaya seimbang seperti cahaya bulan purnama.
  •  

    Walau bagaimanapun, berlakunya Lailatul Qadar ialah rahsia. Kerahsiaan berlakunya Lailatul Qadar mempunyai hikmah yang tersendiri. Ia bertujuan melatih umat Islam terus mencari dengan menggandakan amal ibadah sepanjang Ramadhan. Justeru itu, usaha mencari malam Lailatul Qadar dan beribadah dengan sesungguhnya adalah sunat kerana Rasulullah SAW menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim menyatakan bahawa Baginda telah berusaha meningkatkan amal ibadah pada malam 10 terakhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain.

    No Comments

    No comments yet.

    RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

    Leave a comment

    WordPress Themes