Ilham Rasa
bismillahir rahmanir rahim
ruangan ini merupakan wadah menukilkan ilham rasa dan bicara hati nurani..
KENANGAN SEORANG SAHABAT
Dingin bayu malam membisik sejuta rasa
Menyapa hatiku dengan cara lembutnya
Membawa anganku menembusi masa
Kenangan bersama
Saat binar matamu bicara
Saat senyum indahmu membawa ceria
Saat suaramu yang memberiku tenaga
Saat bicaramu yang mendamaikan jiwa
Saat memandangmu dengan penuh makna
Ku doakan bahagia milikmu selamanya
Dalam realiti, mimpi dan anganku
Kau sentiasa berada dalam hatiku
Menghargaimu membahagiakan sanubariku
Mengenangmu mententeramkan resahku
Untukmu sahabat.. doaku sentiasa mengiringimu..
Nukilan,
Suhaila – Mac 2010
Berikut merupakan sajak dari Ilham Rasa yang menukilkan sajak ini sebagai kesinambungan sajak ‘Kenangan Seorang Sahabat’.
SAHABAT
Sahabat…
Dalam kenyamanan hembusan angin…
Bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa …
Mendamaikan jiwa…
Menenangkan rasa…
Kulihat bintang-bintang bergemerlapan…
Ketawa gembira tanda syukur pada Yang Esa…
Ku renung bulan bersinaran…
Tersenyum penuh ceria…
Dan aku terkenang…
Seorang insan di kejauhan…
Dialah sahabat, dialah teman…
Dialah pengubat jiwa…
Sahabat….
Kau ibarat salju memutih…
Dalam kedinginan di puncak gunung…
Menyejukkan amarah nafsu durjana…
Mententeramkan bara yang menyala…
Mendamaikan jiwa yang lara…
Sahabat…
Wajahmu bersinar bak cahaya di waktu dhuha…
Tenang dan lembut bagaikan sutera…
Bisa menceriakan suasana yang muram durja…
Bicaramu penuh kejujuran…
Tutur katamu penuh keikhlasan..
Ketabahan dan kecekalanmu amat berharga…
Kegigihanmu tidak mengenal erti putus asa…
Lautan api kau harungi dengan jaya…
Keistimewaanmu tiada tolok bandingnya…
Hadirmu membawa rahmat…
Datangmu membawa berkat…
Sahabat….
Tatkala insan lena dibuai mimpi …
Kenangan itu kembali mengusik jiwa…
Ku masih termanggu sendirian…
Merenung jauh….
Jauh ke dasar lautan yang dalam…
Jauh merentasi cakerawala Bima Sakti yang entah di mana…
Sahabat…
Kenangan itu datang semula…
Walau sudah lama ia berlalu…
Tapi dirasakan bagai semalam…
Tika kau melangkah dengan penuh sopan…
Menghadapi segala gangguan dengan penuh kecekalan..
Senyummu tetap terukir walau mengandungi maksud yang amat mendalam…
Sahabat…
Taman itu menjadi saksi…
Betapa akrabnya kita di waktu itu…
Namun pabila berlalu masa dan waktu…
Masing-masing membawa halatuju…
Meninggalkan taman yang dilanda kesepian…
Membilang bilah-bilah hari yang mendatang…
Akhirnya gugur layu kedinginan…
Sahabat…
Mungkin bulan tak pernah tahu…
Apa yang kini ku rasakan…
Dan mungkin bintang tak pernah tahu…
Apa yang kini ku fikirkan…
Setiap waktu ketika matahari pergi…
Meninggalkan cahaya keemasan…
Setiap malam ketika bulan menghilangkan diri…
Meninggalkan seribu kenangan…
Ketika matamu terlelap dalam mimpi…
Tersenyumlah bersama bintang dan bulan…
Bersama keindahan malam bulan dipagar bintang…
Nukilan,
Ilham Rasa 1 April 2010
Terima kasih di atas kiriman dan nukilan sajak yang indah dan menarik ini, Ilham Rasa. Bila ada sajak lagi bolehlah dikongsi dan dikirimkan dan ke ruangan ilham rasa di blog saya ini. TQ
MENGAPA TIADA BAHAGIA
Dalam redup cahaya senja
Termenung aku dalam kesepian
Bertanyaku kepada angin petang
Kenapa hidup tidak seindah impian
Berbisik pada bayu malam
Temankanlah aku tatkala sendirian
Berbicara bersama bintang bergemerlapan
Sambil melayani hati dan perasaan
Merenung pada indahnya cahaya rembulan
Buat mengubati jiwa yang dalam kelukaan
Lantas hati pun bertanya
Mengapa tiada bahagia
Bilakah kan berakhir derita
Pada saat malam semakin larut
Lalu aku sujud
Memohon pada Yang Esa
Hadirkanlah bahagia walaupun dipenghujung nyawa
Agar dapat aku rasa
Bagaimana nikmatnya bila kebahagiaan bertaktha di jiwa
7 April 2010
8 Comments
Other Links to this Post
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
By Rindu, February 27, 2010 @ 6:28 am
Sukar untuk dinyatakan rasa di dalam jiwa melalui ungkapan dan bicara… Namun di sudut hati tersemat segala rasa …. Sesuatu yang di dalam hati akan kekal abadi buat selamanya
By Dr Suhaila, March 1, 2010 @ 6:46 am
Ye betul, Rindu… sesuatu yang ada di hati lebih abadi. Dan sesungguhnya menikmati kebahagiaan di hati lebih bermakna.
By Rindu, March 30, 2010 @ 4:03 pm
Sahabat…
Deritamu deritaku jua…
Sedihmu ku turut merasa…
Dukamu menusuk di jiwa..
Tangismu ku merasa hiba..
Airmata mu kan ku seka…
Sahabat…
Ujian terhadapmu datang bertimpa…
Pada Ilahi diluahkan segala…
Dialah Maha Mendengar, Dialah Maha Kuasa…
Sahabat…
Mendung yang berarak di wajahmu…
Kan hilang bila ditiup angin malam…
Bayu sepoi-sepoi bahasa menyapa dirimu…
Tatkala kau kesedihan…
Akan ada insan yang akan setia…
Menemani mu pada setiap waktu dan ketika..
Sahabat…
Kau kan ditemani walau di mana…
Dalam suka dalam duka…
Dalam bahagia dalam sengsara…
Dalam keadaan apa pun jua…
Kan tetap bersama mu menghadapi segala…
Sahabat…
Kau sentiasa dihatiku…
Kau sentiasa dalam doaku…
Kau sentiasa dalam mimpiku…
Sahabat…
Janganlah terus berduka…
Ku tak rela kedukaanmu itu…
Menghilangkan ceria di wajah sucimu…
Ku tak rela kesedihanmu itu…
Menghancurkan bahagia dalam hidupmu…
Sahabat…
Bersabarlah dengan apa yang berlaku…
Ku yakin dan pasti bahwa kau kan tabah…
Kau kuat dan kau hebat…
Walau ujian berat datang bertingkat-tingkat…
Sahabat…
Insan sepertimu yang sungguh istimewa…
Sepatutnya dibelai dan dimanja…
Sewajarnya dicurahkan kasih sayang sedalam lautan yang tak bertepi…
Tidak dilukai walau sebesar jarum peniti…
Hatimu suci harus dibajai…
Dengan kasih sayang murni dan suci…
Sahabat…
Aku kan tetap bersamamu…
Ku kan berada di sisimu …
Tatkala menongkah segala arus kencang mahu pun ribut taufan…
Begitu jua gempa yang datang menggoncang…
Atau ombak dan badai yang bergelombang…
Kita hadapinya bersama…
Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing…
Apakah kau masih ingat…
Kata-kata hikmat , kata-kata keramat…
‘Apa yang penting.. kerjasama’ tetap digenggam erat…
Kaulah sahabat sejatiku dunia akhirat.
Nukilan,
Insan bernama sahabat
Mac 2010
By Dr Suhaila, April 1, 2010 @ 3:09 am
Terima kasih Rindu di atas perkongsian sajak ini. Sajak dengan tema yang lain juga boleh dikongsi di ruangan ini. Sajak atau apa juga bentuk ilham rasa boleh kita kongsikan bersama di sini. TQ ye
By Winter Sonata, April 3, 2010 @ 4:13 am
Disertakan sajak bertajuk Kenangan Itu
Kenangan itu…
Hadir di kala ku keseorangan…
Menggamit memori silam..
Yang tidak pernah padam…
Kenangan itu…
Berputik segar dalam ingatan…
Seolah baharu semalam…
Mengimbau nostalgia kehidupan…
Kenangan itu…
Tak dapat ku lupakan…
Pabila kaki menjejak ke daerah ini..
Timbul seribu pengertian…
Yang tidak bisa difahami oleh sesiapa melainkan Dia…
Terasa pilu mengusik kalbu…
Kenangan itu…
Ia datang lagi dengan seribu erti…
Apakah zaman itu kan kembali…
Atau ia sudah menjadi takdir ilahi…
Kenangan itu…
Datang dan pergi…
Ibarat roda yang berputar tanpa henti…
Menghantui dalam setiap gerak-geri…
Sehingga menjadi suatu misteri…
Kenangan itu…
Suatu ketika dahulu…
Mengimpikan sesuatu yang tidak pasti…
Menginsafi kekerdilan diri…
Tidak siapa yang peduli…
Hanya munajat pada ilahi…
Dialah Yang Maha Mengetahui…
Ya Rabbal Izzati…
Kenangan itu…
Kian bersemarak….
Tatkala kaki mengorak…
Mengharungi titian hidup…
Kenangan itu…
Dalam cahaya terang yang semakin kelam…
Meninggalkan diri yang terus terpaku…
Terpinga-pinga sendiri…
Mencari sesuatu dalam diri…
Kenangan itu…
Tetap akan datang walau apa yang berlaku…
Suratan atau kebetulan…
Tetap menggamit kenangan silam
Nukilan,
Winter Sonata
By Dr Suhaila, April 5, 2010 @ 8:17 am
Terima kasih Winter Sonata kerana berkongsi sajak yang indah ini. Ye, setiap orang mempunyai kenangan dalam hidup masing-masing. Kenangan terindah pasti sentiasa dalam ingatan. Itukah suratan dalam kehidupan atau sekadar satu kebetulan..
By Mencari Bahagia, April 7, 2010 @ 9:27 am
Saat dan Tika ini
Suasana sunyi sepi
Dalam suram cahaya lampu
Hanya terdengar deruan angin dari kipas yang berpusing tanpa henti tanpa jemu
Ku mengadap kehadrat Mu Ya Allah
Memohon keampunan atas segala kesalahan dan dosa
Dosa yang telah kulakukan sama ada sengaja atau tiada
Dosa yang telah kulakukan yang bisa mengundang murka Mu
Juga dosa sesama manusia.. terlanjur kata, terlanjur segala
Ya Allah
Hanya kepada Mu aku mengadu
Hanya kepada Mu aku mengharap
Hanya kepada Mu aku memohon
Hanya kepada Mu aku berserah
Ya Allah
Bantulah aku hadapi segala
Pancaroba kehidupan yang penuh berliku
Hadapi segalanya dengan tenang
Hapuskan duka nestapa dan pilu
Mengharap hanya pada rahmat Mu
Saat dan tika ini
Suasana sunyi sepi
Ku terkenang peristiwa silam
Terkenang saudara, teman dan rakan
Terkenang sahabat dan taulan
Terkenang sahabat sejati yang tak pernah dilupakan
Bahagiakanlah mereka walau di mana berada
Rahmatilah mereka dengan nur cahaya Mu
Anugerahkanlah naungan Mu yang memayungi dengan kasih Mu
Engkaulah penentu segala sesuatu
Nukilan,
Mencari Bahagia
By Dr Suhaila, April 12, 2010 @ 2:22 am
Terima kasih kerana berkongsi sajak “Mencari Bahagia” ini. Semoga Allah mengurniakan kebahagiaan pada kita semua di dunia dan juga di akhirat, Insya Allah.. Amin.