Category: Isu semasa

Hari Graduan Lestari 2012

 

 

 

 

PERTANDINGAN POSTER

Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan ingin menjemput seluruh staf dan pelajar di pusat pengajian ini untuk menonjolkan bakat serta komitmen mereka terhadap kelestarian dengan menyertai pertandingan mencipta poster. Objektif utama pertandingan ini adalah untuk membantu mencapai hasrat kelestarian yang tinggi dalam kehidupan harian.

 

Syarat dan Peraturan Pertandingan Adalah Seperti Berikut:

 1.0  Kelayakan

1.1  Terbuka kepada semua staf dan pelajar di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan

1.2  Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menyertai pertandingan ini.

 

2.0  Tema Pertandingan

2.1  Tema poster yang dicipta itu mestilah berkaitan dengan isu-isu kelestarian

 

3.0  Syarat Penyertaan

3.1  Setiap poster mesti dihasilkan secara individu. Tidak ada kategori kumpulan dalam pertandingan ini.

3.2  Setiap peserta boleh menghantar tidak lebih daripada 3 penyertaan. Walau bagaimanapun hanya satu hadiah saja boleh dimenangi oleh setiap peserta.

3.3  Saiz poster ialah 375mm x 270mm, dan ia mestilah dalam paparan ‘LANDSCAPE’

3.4  Peserta boleh menggunakan pelbagai medium warna (warna air, warna poster, pen, cat, krayon, kapur, marker, pensil dan sebagainya yang sesuai untuk menghasilkan poster yang menarik).  Penghasilan secara 3 dimensi tidak dibenarkan dalam pertandingan ini.  Penggunaan gam dan dawai kokot juga tidak dibenarkan.

3.5  Poster mestilah lakaran tangan.  Lakaran dan cetakan menggunakan komputer sama sekali tidak dibenarkan.

3.6  Tajuk poster, nama peserta dan no staf/matriks mestilah ditulis pada sudut atas sebelah kanan bahagian BELAKANG poster.

3.7  Poster mestilah asli dan tidak diciplak daripada mana-mana sumber.

3.8  Setiap penyertaan adalah hak milik PPIK dan tidak akan dikembalikan

3.9  Penganjur tidak akan bertanggungjawab atas segala penjagaan, kehilangan, kelewatan penghantaran, poster yang tidak lengkap, kecurian atau poster yang tidak diterima untuk pertandingan ini.

 

4.0  Hadiah / Ganjaran

4.1  Setiap peserta akan menerima sijil penyertaan

4.2  Keputusan hakim adalah muktamad, sebarang rayuan tidak akan dilayan

4.3  Pemenang pertama akan menerima RM 100.00, pemenang kedua RM70.00 dan tempat ketiga RM 50.00.  Tidak ada hadiah sagu hati ditawarkan.

4.4  Semua peserta dan pemenang akan diumumkan semasa Hari Graduan Lestari PPIK 2012 yang akan berlangsung pada 8 Mei 2012. Sijil dan hadiah akan disampaikan pada hari tersebut.

4.5 Sesiapa yang berminat untuk menyertai program ini perlulah mendaftar nama kepada ajk yang terlibat:

 Mohammad Haidir bin Apandi, email: mohdhaidirapandi@gmail.com

 

5.0  Tarikh Tutup Penghantaran Poster

5.1  Tarikh akhir penghantaran poster selewat-lewatnya 4 Mei 2012

5.2  Segala pertanyaan tentang pertandingan ini boleh diajukan kepada Prof. Chan Ngai Weng dan Prof Madya Lock Chong Hoe.

5.3  Kirimkan poster anda kepada:-

 

Sekretariat HGL

Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan

Universiti Sains Malaysia

(u.p : Cik Julia binti Jaafar)

 

Sila baca dan fahami syarat dan peraturan pertandingan ini sebaik mungkin. Hanya penyertaan yang benar-benar menepati syarat sahaja akan dipertandingkan.

 

PERTANDINGAN KITAR SEMULA

Syarat dan peraturan pertandingan Kitar Semula adalah seperti berikut:

 

1.0  Kelayakan

1.1  Terbuka kepada semua pelajar dan staf di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.

1.2  Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menyertai pertandingan ini.

 

2.0  Syarat Penyertaan

2.1   Penyertaan secara individu atau berkumpulan.

2.2   Bahan untuk kitar semula terdiri daripada kertas, tin alumimium dan botol plastik sahaja.

2.3   Bahan kitar semula akan ditimbang oleh pihak pengurusan kitar semula dan diberikan bayaran.

2.4  Bahan kitar semula perlu diserahkan pada hari berlangsungnya program kepada ajk yang terlibat.

2.5  Bahan kitar semula perlulah diikat atau dibungkus dengan kemas sebelum diserahkan kepada pihak penganjur.

2.6  Bahan berbahaya tidak dibenarkan dikitar semula.

2.7  Sesiapa yang berminat untuk menyertai program ini perlulah mendaftar nama kepada ajk yang terlibat.

 

3.0  Hadiah / Ganjaran

3.1  Setiap pemenang akan menerima sijil penyertaan

3.2  Keputusan hakim adalah muktamad, sebarang rayuan tidak akan dilayan.

3.3  Pemenang pertama akan menerima hamper bernilai RM 100.00, pemenang kedua hamper bernilai RM50.00 dan tempat ketiga hamper bernilai RM30.00.  Tidak ada hadiah sagu hati ditawarkan.

3.4  Semua pemenang akan diumumkan semasa Hari Graduan Lestari PPIK 2012 yang akan berlangsung pada 8 Mei 2012. Sijil dan hadiah akan disampaikan pada hari tersebut.

 

4.0  Kepada sesiapa yang berminat, sila hubungi :

  • Cik Hazirah binti Yusof,  email : hazirahyusoff@yahoo.com
  • Cik Nornazura binti Isnin, email : nur_islahiyyah@yahoo.com.my

 

4.0 Tarikh tutup pendaftaran : 4 Mei 2012

 

 

PERMOHONAN MENGUSAHAKAN GERAI JUALAN

Syarat dan peraturan permohonan membuka Gerai Jualan adalah seperti berikut:

 

1.0  Kelayakan

1.1  Terbuka kepada semua pelajar, alumni dan staf di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan

1.2  Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pemohon yang terdiri daripada pelajar untuk membuka gerai jualan.

1.3  Bayaran RM20 dikenakan kepada pemohon yang merupakan alumni, staf dan pihak luar PPIK.

 

2.0  Syarat Penyertaan

2.1   Permohonan secara individu atau berkumpulan.

2.2   Pemohon perlu mengisi borang permohonan membuka gerai jualan untuk dipertimbangkan oleh pihak urusetia.

2.3   Bahan jualan boleh terdiri daripada buku, tudung, perhiasan, makanan kering, minuman dsb.

2.4   Bungkusan yang digunakan perlulah bersifat lestari. Penggunaan polisterin tidak dibenarkan.

2.5  Meja atau booth jualan akan disediakan oleh pihak penganjur.

2.6  Para penjual mestilah sentiasa memastikan kebersihan gerai dan persekitaran.

2.7  Tiada sebarang aktiviti memasak dibenarkan digerai jualan.

2.8  Pihak penganjur tidak bertanggungjawab terhadap apa jua kes kecurian, kerosakan atau kehilangan.

2.9  Sesiapa yang berminat untuk menyertai program ini perlulah mendaftarkan nama kepada ajk yang terlibat.

 

3.0  Kepada yang berminat, sila hubungi :

              Encik Hasri bin Rajali, email :  hasri91@gmail.com

  • Encik Mohd Iliashok bin Mat Zali, email : mohdilias91@gmail.com
  • Encik Idrus bin Ishak, email : yusz­_adruse@yahoo.com

 

 4.0 Tarikh tutup permohonan : 4 Mei 2012

 

Terima Kasih

 

Jawatankuasa Penganjur HGL

Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan

Universiti SainsMalaysia

 

 

Sedikit Keprihatinan

Seringkali apabila melalui jalan sekitar Penaga di pagi hari akan kelihatan seorang lelaki yang membawa kereta sorong mengumpul tin-tin aluminium. Hati terasa sayu melihat kesungguhan beliau mencari nafkah kehidupan, tanpa meminta-minta.. biarpun dirinya OKU dan berdepan dengan bahaya di jalanan.

Lalu, apabila terserempak lagi dengan beliau beberapa kali .. dan menyaksikan betapa jauhnya beliau telah menapak selangkah demi selangkah, berjalan terlalu jauh sehingga ke Permatang Sintok dan Lahar Kepar, hati berkata sendiri, gigih sungguh insan ini meneruskan usaha untuk menampung kehidupan.

Lantas, di atas usaha Dr N mewar-warkan perihal pak cik ini kepada warga kerja di USM melalui email yang pendek, ada insan prihatin yang sudi menghulurkan bantuan.. dan kami berpeluang menyampaikan amanah tersebut kepadanya hari ini.

Semasa pertemuan dengan beliau pagi ini, saya sempat melihat hanya ada beberapa tin minuman sahaja yang telah dikumpulkan biarpun telah sejauh 4 @ 5 kilometer beliau telah berjalan.. sayunya hati..

Alhamdulillah, beliau nampak sangat terharu menerima bantuan .. walaupun saya tidak faham maksud yang dituturkannya, saya lihat dari matanya, beliau ingin sekali menyatakan rasa terima kasih di atas bantuan yang dihulurkan itu.. terima kasih pada yang prihatin pada nasib insan yang sangat memerlukan ini.

Aidil Fitri Yang Lestari

Umat Islam di Malaysia meraikan Aidil Fitri di Malaysia dengan cara yang tersendiri.. Selain bersolat sunat Hari Raya Aidil Fitri secara berjemaah di masjid-masjid dan bertakbir hari raya .. amalan berkunjungan juga telah lama menjadi tradisi dalam masyarakat di Malaysia.

Sebagai meraikan tetamu yang  berkunjung, sanak-saudara dan anak-anak yang pulang beraya, pelbagai judah disediakan. Antara juadah tradisi yang menjadi hidangan pada hari raya ialah ketupat.

Terdapat dua jenis ketupat iaitu yang dibuat daripada beras dan ada juga yang dibuat dari pulut.. Untuk menyediakan ketupat beras, biasanya anyaman dibuat menggunakan daun kelapa sebagai pembalut beras yang akan direbus sehingga menjadi ketupat nasi. Ia juga dikenali sebagai nasi impit.. Ketupat jenis ini biasanya dimakan bersama rendang, sayur lodeh dan sambal.

Inilah anyaman ketupat yang dihasilkan untuk untuk raya tahun ini :) Anyaman ini dibuat menggunakan daun kelapa yang masih muda. Mujurlah ia mudah sahaja diperolehi dari pohon-pohon kelapa yang ditanam oleh tok wan di sekitar laman tepi rumah.

Ketupat nasi ini perlu direbus selama 3 hingga 4 jam supaya beras menjadi lembut dan menjadi satu.

Ketupat nasi yang direbus menggunakan daun kelapa ini lebih selamat, lestari dan tentunya lebih baik berbanding ketupat nasi yang dibalut plastik yang boleh dibeli dari pasaraya. Dibimbangi bahan berbahaya dari plastik akan menyerap masuk ke dalam ketupat nasi yang direbus.

Oleh itu, sewajarnya seni anyaman ketupat dipelajari agar tradisi yang lestari ini dapat kita kekalkan dan diwarisi kepada generasi yang seterusnya… Hmmm.. mungkin amalan dan seni tradisi ini sesuai dipelajari dalam bahagian praktikal subjek Etika dan Masyarakat Lestari :)

 

aila2011

Mengisi Masa Untuk Kelestarian

Kelestarian.. apa maksud sebenar istilah ini ? Hmm, inilah satu istilah yang sedang bermain difikiran.. Mana tidaknya, semester baru akan bermula tidak lama lagi.. iaitu pada Syawal ini.. Sebagai penyelaras subjek Etika dan Masyarakat Lestari, banyak urusan tentang penawaran subjek baru ini yang perlu dibereskan, sebelum bercuti meraikan Aidil Fitri..

Mungkin aktiviti luar rumah ini dan hasilnya boleh menggambarkan sebahagian daripada maksud istilah tersebut.. :)

aila2011 aila2011

aila2011

Kajian Tentang Masjid

aila2011

Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan izin-Nya maka kajian tentang remaja masjid telah berjaya disiapkan sebaik tiba Ramadhan 1432H ini. Kajian ini dilaksanakan di beberapa buah masjid negara termasuklah di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Remaja dan Globalisasi

Apabila kita menyinggung persoalan berkaitan cabaran dan kesan globalisasi ke atas golongan remaja, sudah agak lewat untuk kita membuat persiapan bagi golongan tersebut menghadapi fenomena ini. Hal ini adalah kerana globalisasi sudah melandai dalam banyak aspek kehidupan manusia di seluruh dunia.

Di antara cabaran globalisasi yang amat ketara adalah cabaran dari sudut aspek sosial dan budaya. Pada hari ini, umumnya, golongan muda sebahagian besarnya sudah dikesani dek proses globalisasi sosio budaya ini. Hal ini melibatkan peminggiran nilai tradisi dan kesantunan kita kini yang sedang melalui proses penghakisan yang amat ketara.

Hari ini, kita dapat menyaksikan bahawa terdapat segolongan generasi muda yang semakin melupakan akar budaya, santunan bangsa dan ajaran agamanya sendiri. Dalam keghairahan mereka mengejar gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat, golongan muda secara umumnya tidak merasa bersalah untuk meniru secara bulat-bulat budaya hidup Barat.

Fenomena tersebut boleh disaksikan daripada kemegahan golongan belia dan remaja menggunakan pakaian jenama barat, budaya makanan dan minuman segera keluaran barat, meminati hiburan, majalah popular, filem-filem yang menonjolkan budaya barat.

Demikianlah antara fenomena globalisasi yang kini sedang mencabar seluruh jati diri golongan muda. Dari globalisasi fenomena ini boleh bertukar menjadi dominasi. Hal ini akan menyebabkan golongan muda semakin terdedah kepada corak kehidupan dan nilai keperibadian yang terpisah jauh dari ciri-ciri kesantunan budaya hidup masyarakat timur.

Kita tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneliti secara kritikal dari implikasi globalisasi yang semakin mengancam dan tidak terkawal ini. Golongan muda perlu disedarkan agar bijak menilai aspek positif dan menyaring aspek yang negatif yang datang bersama arus globalisasi ini. Gandingan ilmu, amal dan iman perlulah dijadikan wasilah dalam mendepani fenomena ini.

WordPress Themes