Ibnu Khaldun: Bapa Ilmu Sejarah & Sosiologi

Ibn Khaldun atau nibn-khaldoun-elkhabarama sebenar beliau ialah Abu Zayd Abd al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun Wali al-Din al-Tunisi al-Hadrami al-Ishbili al-Maliki, lahir di Tunis pada tahun 732H/1332M dan meninggal dunia di Kaherah pada tahun 808H/1406M. Nama sebenar beliau ialah ‘Abd Rahman. Beliau turut mempunyai nama gelaran iaitu Wali al-Din. Akan tetapi, beliau lebih masyhur dengan panggilan Ibn Khaldun.

Ibnu Khaldun merupakan seorang pemikir Islam terulung dalam bidang sains sosial dan ketamadunan. Karya beliau yang bertajuk Muqaddimah merupakan sebuah karya monumental yang banyak dirujuk dan dikaji. Keseluruhan isi kandungan Muqaddimah disulami dengan pengamatan dan huraian yang cukup teliti tentang manusia dan masyarakat serta sistem sosial dalam kehidupan. Konsep peradaban yang dikemukakan oleh beliau mencakupi segala aspek berkaitan unsur spiritual dan fitrah manusia serta aspek fizikal dan juga biologikalnya.

Cendekiawan Barat mengiktiraf Ibnu Khaldun sebagai bapa ilmu sejarah, sosiologi dan ekonomi. Ilmu yang beliau utarakan 500 tahun lebih awal berbanding tokoh-tokoh bidang yang sama di Eropah seperti Aguste Comte, Adam Smith dan David Ricardo.

Ibnu Khaldun dikenali juga sebagai bapa ekonomi Islam kerana pemikirannya tentang teori ekonomi yang logik dan realistik. Teori yang dikemukakannya jauh lebih dahulu daripada teori-teori ekonomi yang dikemukakan oleh Adam Smith (1723-1790) dan David Ricardo (1772-1823).

Tulisan dan pemikiran Ibnu Khaldun terhasil daripada ilmunya yang sangat tinggi dan pengamatan yang mendalam. Sumbangan Ibnu Khaldun dalam bidang keilmuan ini melayakkan beliau diiktiraf sebagai seorang pakar sejarah terulung, juga sebagai seorang pakar dalam bidang falsafah, sains sosial moden dan ekonomi.

Karya tersohor yang dihasilkan oleh Ibnu Khaldun berjudul  ‘Muqaddimah’ menghuraikan beberapa aspek dalam kehidupan bermasyarakat, proses pembentukan negara, faktor kemajuan dan kemunduran sesebuah peradaban manusia, di samping menerangkan juga tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian.

Sehingga kini karya beliau masih relevan dan menjadi rujukan penting khususnya dalam bidang kajian sosial, politik, falsafah dan sejarah. Karya beliau yang menakjubkan ini membolehkan beliau digelar sebagai Prolegomena atau pengenalan kepada pelbagai displin ilmu serta perkembangan kehidupan manusia dalam kalangan cendekiawan Barat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>