Pembangunan Tamadun dan Kelestarian Alam Sekitar

Go to fullsize image

Oleh: Dr Suhaila Abdullah 

Pembinaan tamadun manusia amat berkait rapat dengan penggunaan sumber alam semulajadi. Hasil yang diperolehi oleh manusia daripada penerokaan sumber alam semulajadi memberikan banyak manfaat terhadap pembangunan kehidupan manusia. Daripada sumber alam, manusia memperolehi sumber makanan juga sumber lain seperti kayu-kayan, bahan galian seperti petroleum, emas, perak dan sebagainya. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah al-Hajj (22) : 64 yang bermaksud “Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. dan Sesungguhnya Allah, Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

 Berdasarkan ayat di atas, Allah S.W.T. menegaskan bahawa alam ini dijadikan olehNya. Justeru itu, manusia hanyalah meminjam dan menggunakan sumber alam yang diciptakan oleh Allah. Dengan sebab itu, sewajarnya manusia mengambil faedah dari sumber alam ini secara beretika dan beradab-sopan dan bukannya mengeksploitasi alam secara melampaui batas.

Selain itu, dalam al-Quran dijelaskan bahawa bumi ini dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai sebuah hamparan dan mempunyai permukaan yang lembut supaya senang manusia menjalankan aktiviti pertanian, mendirikan bangunan memecahkan tanah untuk membuat jalan-jalan dan sebagainya. Hal ini dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud : “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)” Surah al-Mulk (67) : 15.

Selain itu, Allah S.W.T. turut menjelaskan bahawa sesungguhnya manusia diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini melalui firmanNya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” Surah Ali ‘Imran (3) : 104

Sebagai khalifah Allah di muka bumi, maka manusia telah diamanahkan untuk mentadbir alam ini dengan sebaiknya.  Tugas ini melibatkan perhubungan manusia dengan manusia lain dan hubungan manusia dengan makhluk cipataan Allah yang lain termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan, alam sekitar dan sebagainya. Justeru itu, dalam usaha manusia membina tamadun dan memajukan kehidupannya, terdapat peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.Dalam hal ini, manusia tidak boleh bertindak sesuka hatinya mengeksploitasi sumber alam sehingga berlakunya pembaziran dan kerosakan.

 Isu Alam Sekitar Pada Masa Kini

 Isu alam sekitar pada masa kini merupakan suatu isu yang berkaitan dengan persoalan sosial kehidupan manusia dan ia juga turut merangkumi persoalan berkaitan ekonomi, kesihatan, budaya dan juga alam sekitar dan sekaligus merangkumi tentang persoalan kemanusiaan dan kelestarian alam sejagat. Isu alam sekitar yang melanda tamadun manusia akhir-akhir ini menjadi ancaman kepada kehidupan semua makhluk yang wujud di muka bumi ini termasuklah kehidupan manusia itu sendiri, juga terhadap kehidupan fauna dan flora serta sumber-sumber semulajadi lain, persekitaran sekeliling dan alam cakerawala.

Isu-isu alam sekitar global seperti masalah kehilangan biodiversiti, kemerosotan sumber asli, pemanasan global, penipisan lapisan ozon, penebangan hutan yang berleluasa dan pelbagai masalah pencemaran air, udara dan alam sekitar yang lain merupakan antara masalah yang semakin meruncing dan meningkatkan cabaran dalam pengurusan alam sekitar masa kini.

Punca krisis alam sekitar yang kini mengancam kehidupan manusia dan makhluk lain yang wujud di muka bumi ini tidak lain dan tidak bukan adalah terletak pada sikap manusia pada zaman perindustrian sekarang ini yang berpandangan sekular, mekanistik dan sempit. Mereka hanya mementingkan keuntungan dengan mengeksploitasi sumber alam tanpa memperdulikan kelestarian alam yang dihuni. Hal ini telah mula berlaku sejak Revolusi Saintifik yang bermula di Eropah pada abad ke-17 yang mengetengahkan idea bahawa alam semulajadi ini boleh dimanipulasi dan dieksploitasi sewenang-wenangnya. Perkembangan teknologi sejak zaman itu turut mengabaikan pertimbangan etika dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Sebagai kesimpulannya, pembinaan tamadun manusia tidak dapat dipisahkan daripada penggunaan sumber alam semulajadi. Walau bagaimanapun, terdapat batas-batas dan peraturan-peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh manusia dalam usaha mereka membina tamadun yang gemilang. Dalam hal ini, Islam meletakkan asas yang penting terhadap penciptaan manusia iaitu sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbirkan alam ini secara adil dan berhikmah dengan mengambilkira faktor kelestarian alam sekitar di samping usaha mereka memajukan kehidupan, mengejar kemajuan dan membina kecemerlangan tamadun.

Pandangan S.M.N.A. dalam memerihalkan tamadun sebagai keadaan kehidupan insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat adalah amat bernas dan jitu. Dalam kata lain, kebiadaban manusia yang mengeksploitasi alam sekitar secara rakus tanpa mengambil kira adab dan tatasusila itu boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak mencerminkan sebuah kehidupan bertamadun sekalipun sesebuah masyarakat itu telah mencapai kemajuan yang moden dan canggih sepertimana yang berlaku dalam tamadun Barat.

One thought on “Pembangunan Tamadun dan Kelestarian Alam Sekitar

  1. suriati

    assalamualaikum dr.suhaila,
    nota pengajaran titas itu memng tidak boleh dibukakah?sebab kat link situ minta password?password apa yer dr?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>