Remaja dan Perubahan Sosial

Remaja merupakan aset negara. Merekalah golongan yang diharapkan akan menerajui dan mentadbir negara pada masa akan datang. Namun demikian, pada hari ini, kita dapati golongan inilah yang banyak terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Di antara punca utama yang menyebabkan berlakunya gejala sosial adalah akibat daripada arus globalisasi dan juga modenasasi. Tidak dinafikan bahawa arus globalisasi bergerak seiringan dengan modenasasi. Dalam dunia serba moden kini, masyarakat lebih mementingkan tentang prestij dan kemewahan. Maka dengan sebab itu, mereka menjadi semakin bersifat individualistik dan materialistik. Perubahan demi perubahan berlaku dengan pantas seiring dengan perubahan pada arus global yang digelar globalisasi. Globalisasi tersebut tidak saja ditandai dengan dominasi ekonomi bahkan ia turut melibatkan dominasi dari segi budaya dan pemikiran. Masyarkat kini terbawa-bawa dengan pembudayaan kota (city culture) menuruti landasan Barat. Hal ini berlaku secara pantas dan agresif dengan adanya teknologi maklumat, komunikasi dan multi media sebagai pacuan yang sangat berkesan untuk menyebarkan agenda globalisasi dan dominasi Barat.
Lazimnya, kita sebagai manusia, apatah lagi golongan remaja, mempunyai sifat ingin tahu terhadap perkara baru yang dianggap trendy dari Barat. Justeru itu, tidak mustahil golongan remaja mudah terpengaruh dengan budaya Barat, seperti budaya mewarnakan rambut, memakai anting-anting, membuat tattoo di badan, menggemari muzik-muzik keterlaluan dari Barat seperti muzik rock, heavy metal, dan black metal yang turut dimuatkan dengan unsur-unsur pemujaan syaitan dan sebagainya. Bahkan, ada juga berlaku hal-hal yang lebih dahsyat seperti pengambilan minuman keras dan pergaulan bebas yang boleh menjurus kepada masalah – masalah gejala sosial yang lebih serius misalnya kes pengguguran dan pembuangan bayi. Mungkin sesetengah orang beranggapan bahawa hal ini merupakan satu fenomena biasa yang datang bersama arus kemodenan. Namun demikian, di negara Islam seperti Malaysia ini, hal ini merupakan satu perkara serius, yang perlu dikawal daripada terus berleluasa dalam masyarakat khususnya dalam kalangan golongan remaja kita.
Posted: March 3rd, 2009 under Uncategorized.
Comments
Comment from Hasanah
Time April 3, 2009 at 1:12 am
Ramai orang tua yang jiwanya masih remaja. Mungkinkah itu punca remaja kita tidak mahu matang?
Comment from Dr Suhaila
Time April 16, 2009 at 12:44 am
Thanks for the add, MakCu Pipah …
memang betul apa yang diperkatakan itu..
Comment from Dr Suhaila
Time April 16, 2009 at 12:47 am
Entahlah Dr Hasanah… mungkin betul apa yang Dr katakan itu … bila orang tua sendiri pun jiwanya masih kebudak-budakan, macam manalah mereka nak memberi contoh teladan dan menangani golongan remaja yang masih tercari-cari arah pedoman …
Comment from makCu_pipah
Time March 24, 2009 at 12:09 pm
IMPLIKASI MASALAH SOSIAL
Di Malaysia, hampir setiap hari dilaporkan oleh media massa akan fenomena masalah sosial yang sedang melanda masyarakat. Perlakuan buruk ini perlu dipandang berat kerana ia melibatkan golongan remaja.
Di peringkat keluarga, permasalahan ini boleh menjejaskan masa hadapan sesebuah keluarga kerana ia diganggu gugat oleh anak-anak yang rosak akhlaknya. Ibu bapa pula berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tekanan hidup dan kehabisan harta benda akibat daripada ancaman kehendak nafsu jahat dalam kalangan segelintir anak-anak. Selain itu, fenomena ini juga telah mengancam pembangunan modal insan dan kesejahteraan hidup.
Di peringkat masyarakat pula, gejala sosial telah menganggu kebahagiaan dan kesejahteraan hidup masyarakat kerana terpaksa menghadapi ancaman dan gangguan daripada golongan yang menimbulkan gejala sosial.
Manakala di peringkat negara pula, penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai kegiatan yang tidak bermoral bukan sahaja membazirkan wang jutaan ringgit malahan ia akan menyebabkan hilangnya tenaga-tenaga pelapis yang sepatutnya mewarisi kepimpinan negara. Menurut laporan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, sebanyak RM19 juta setahun dibelanjakan untuk pemulihan penagih-penagih dadah di seluruh Negara. Manakala Majlis Aids Negara pula membelanjakan sejumlah RM40 juta setahun untuk mangsa-mangsa Aids di seluruh Negara .
Golongan remaja adalah golongan yang diharapkan menjadi tenaga kerja yang boleh meningkatkan ekonomi negara dan seterusnya membangunkan negara. Akan tetapi, dengan terjebaknya golongan ini ke dalam masalah sosial, mereka merupakan perosak negara. Jika ramai remaja terjebak dalam masalah penagihan dadah dan sebagainya, sumber manusia tidak dapat disediakan dan produktiviti turut terjejas. Hal ini mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi negara kerana negara amat memerlukan sumber manusia yang berkemahiran tinggi.